Seorang ibu mampu menjaga 10 anak, namun 10 anak belum tentu mampu
menjaga seorang ibu - ungkapan yang biasa didengar tetapi tidak semua memahami
atau mungkin buat-buat tidak faham makna yang tersirat di dalamnya.
Kalau semua anak-anak memahami sudah pasti tidak timbul fenomena
ibu bapa diabaikan dengan meletakkan tanggungjawab menjaga mereka pada pekerja
rumah-rumah kebajikan.
Biarpun dikatakan belum berada pada tahap serius ia sedikit
sebanyak telah mendorong pertimbangan kerajaan untuk kemungkinan memperkenalkan
akta khas mewajibkan anak-anak menanggung kos sara hidup orang tua mereka.
Namun, ada segelintir anak-anak yang mengambil jalan mudah
menghantar ibu bapa mereka ke rumah-rumah orang tua dengan alasan sibuk bekerja
dan sebagainya.
Ada juga anak-anak yang terdesak menghantar ibu bapa mereka ke
rumah orang tua kerana tekanan dan desakan ekonomi.
Memang ada anak-anak menjaga orang tua mereka dengan rela hati dan
penuh kasih sayang sehingga kadang-kadang mereka sendiri mengalami tekanan
secara sedar atau tidak. Tugas menjaga bukan sahaja memerlukan tenaga, tetapi
masa, dan sumber kewangan yang cukup di samping menjalankan tanggungjawab
sosial yang lain.
Oleh itu, penjaga perlu juga mengawal tahap tekanan mereka supaya
kesihatan fizikal dan mental mereka dalam keadaan terkawal. "Jika penjaga
sendiri mengalami masalah fizikal atau mental bagaimana mereka hendak
menjalankan tanggungjawab yang murni ini. Silap langkah, mereka sendiri yang
menjadi pendera atau pengabai terhadap warga tua,'' katanya.
Hal ini disuarakan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak lama dulu.