Jantung merupakan salah satu organ yang amat penting terdapat dalarn
tubuh kita. Tanpanya, sudah pasti kita semua tidak bernyawa. Justeru,
untuk menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh kita, amat wajar sekali
perhatian sejak dan awal diberikan kepada jantung.
Seperkara perlu diingatkan, jantung kita akan terus berdenyut selagi
hayat masih ada untuk mengepam darah yang mencukupi bagi kegunaan
sel-sel tubuh. Namun disebabkan oleh gaya hidup yang tidak sihat,
sebahagian besar daripada kita cenderung untuk mendapat serangan sakit
jantung.
Seperti yang dimaklumi, serangan sakit jantung merupakan salah satu
punca utama kematian di kalangan rakyat di negara-negara maju dan
membangun seperti Malaysia. Hakikatnya, serangan sakit jantung bukan
tidak boleh dielakkan. Cumanya, kita perlu menjaga jantung kita bermula
dari sekarang. Bagaimanakah caranya?
Pertamanya, kita mesti memulakan tabiat baik sejak kanak-kanak lagi agar ia (amalan baik) itu berterusan sehingga dewasa kelak.
Terdapat banyak cara dan petua diberikan berhubung cara bagaimana menjaga jantung kita.
Buku-buku mengenai hal yang sama juga banyak terdapat di pasaran. Salah
satunya ialah yang ditulis oleh Dr. Jamilah Jamaludin berjudul Jantung - Antara Hidup dan Mati
(1997), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di dalam buku ini,
beliau menurunkan beberapa petua menjaga jantung bagi dijadikan panduan.
Antaranya ialah mengawal berat badan, menjaga pemakanan, berhenti
merokok, bersenam, mengurangkan tekanan atau stres dan melakukan
perubahan gaya hidup.
Kawalan berat badan
Kegemukan sering mencetuskan faktor risiko lain seperti paras lemak yang
tinggi, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Oleh itu, berat
badan berlebihan hendaklah dikurangkan kepada nilai yang sesuai bagi
bentuk badan seseorang itu.
Dan lazimnya, kegemukan itu disebabkan oleh makanan berlebihan yang
mungkin diamalkan sejak kecil lagi. Realitinya, mereka yang memiliki
berat badan berlebihan tidak bergiat aktif, lantas kalori yang tinggi
dalam makanan mereka tidak digunakan.
Maka lebihan makanan itu ditukarkan kepada lemak yang berkumpul pula
pada bahagian-bahagian tertentu di badan seperti paha, perut dan
sebagainya tanpa ketinggalan jantung. Tetapi apabila lemak berkumpul di
jantung, ia akan mengganggu kerja-kerja jantung.
Pemakanan
Bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan, boleh mengelakkan
makanan yang kaya lemak seperti mentega, keju, minyak sapi dan makanan
bersantan.
Pesakit jantung sendiri dinasihatkan supaya mengambil hanya sedikit
makanan berlemak. Makanan yang mengandungi kolesterol hendaklah
dielakkan. Ini termasuk telur, mentega, hati, otak dan sebagainya.
Penggunaan minyak dalam penyediaan makanan juga patut dibataskan.
Sebaliknya, digalakkan makanan yang dimasak secara kukus dan panggang.
Masakan cara ini adalah lebih baik.
Sayur-sayuran seperti lobak, mentimun, semua jenis kubis dan sayur
berdaun hijau selain buah-buahan adalah baik untuk men-jamin kesihatan
dan kesejahteraan hidup. Justeru, amat baik sekali ia diamalkan setiap
hari pengambilannya.
Seperkara lagi yang berkaitan dengan pemakanan ialah dinasihatkan tidak
mengambil alkohol. Ia bukan sahaja menyulitkan usaha menurunkan berat
badan tetapi turut mendatangkan bahaya pada tubuh, lebih-lebih lagi
hati.
Berhenti merokok
Majoriti mereka yang mendapat serangan sakit jantung ialah kalangan yang
merokok. Jika pernah mendapat serangan jantung, perlulah menurut
nasihat doktor supaya amalan menghisap rokok dihentikan. Ini berupaya
mengurangkan risiko berulangnya sakit jantung itu.
Bersenam
Bersenam adalah cara terbaik untuk menjaga kesihatan. Joging, berjalan
dan mengayuh basikal merupakan antara contoh senaman bagi mereka yang
ada mengalami serangan jantung.
Pendek kata, sebarang senaman yang dibuat secara teratur adalah baik dan
jelas sekali aktiviti ini dapat mengurangkan risiko mendapat penyakit
jantung.
Aktiviti senaman dapat membantu jantung mengedarkan darah secara lebih
berkesan. Selebihnya, dengan bersenam secara teratur turut menjadikan
tekanan darah diturunkan.
Perubahan gaya hidup
Risiko mendapat penyakit jantung koronari dan hipertensi/tekanan darah
tinggi sering dikaitkan dengan amalan atau cara hidup seseorang. Ini
meliputi aspek pemakanan, aktiviti riadah, tabiat merokok dan
sebagainya.
Cara ini, jika menjadi amalan kita, elok diubah. Amalan hidup yang sihat
tentunya boleh menjaga tubuh kita, sekali gus menjaga jantung agar
hidup sentiasa sejahtera.
No comments:
Post a Comment