Tuesday 31 March 2015

Menjaga warga emas - Tanggungjawab semua pihak

Seorang ibu mampu menjaga 10 anak, namun 10 anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu - ungkapan yang biasa didengar tetapi tidak semua memahami atau mungkin buat-buat tidak faham makna yang tersirat di dalamnya.
Kalau semua anak-anak memahami sudah pasti tidak timbul fenomena ibu bapa diabaikan dengan meletakkan tanggungjawab menjaga mereka pada pekerja rumah-rumah kebajikan.
Biarpun dikatakan belum berada pada tahap serius ia sedikit sebanyak telah mendorong pertimbangan kerajaan untuk kemungkinan memperkenalkan akta khas mewajibkan anak-anak menanggung kos sara hidup orang tua mereka.
Namun, ada segelintir anak-anak yang mengambil jalan mudah menghantar ibu bapa mereka ke rumah-rumah orang tua dengan alasan sibuk bekerja dan sebagainya.
Ada juga anak-anak yang terdesak menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua kerana tekanan dan desakan ekonomi.
Memang ada anak-anak menjaga orang tua mereka dengan rela hati dan penuh kasih sayang sehingga kadang-kadang mereka sendiri mengalami tekanan secara sedar atau tidak. Tugas menjaga bukan sahaja memerlukan tenaga, tetapi masa, dan sumber kewangan yang cukup di samping menjalankan tanggungjawab sosial yang lain.
Oleh itu, penjaga perlu juga mengawal tahap tekanan mereka supaya kesihatan fizikal dan mental mereka dalam keadaan terkawal. "Jika penjaga sendiri mengalami masalah fizikal atau mental bagaimana mereka hendak menjalankan tanggungjawab yang murni ini. Silap langkah, mereka sendiri yang menjadi pendera atau pengabai terhadap warga tua,'' katanya.
Hal ini disuarakan sendiri oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak lama dulu.


No comments:

Post a Comment